MBMB lantik Ahli Majlis usia 20 tahun

MBMB lantik Ahli Majlis usia 20 tahun

ABDUL RAFI MU'IZ Omar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Zainal Abu di Pejabat MBMB, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelajar Politeknik Kota Melaka, Abdul Rafi Mu’iz Omar, 20, mencatat sejarah selepas dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) termuda pernah menganggotai pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Anak kelahiran Klebang yang masih menuntut di semester tiga Diploma Perniagaan Antarabangsa, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani dokumen di hadapan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu, di sini hari ini. 

Zainal berkata, Abdul Rafi Mu’iz adalah Ahli Majlis termuda yang pernah dilantik sejak penubuhan MBMB pada 2003.

Menurutnya, sebelum ini golongan belia hanya dijemput hadir pada mesyuarat tetapi sekadar boleh memberi pandangan dan tidak boleh membuat keputusan atau mengundi.

“Dengan adanya Abdul Rafi Mu’iz, kita dapat mendengar suara dan pandangan daripada golongan belia kerana ini amat penting untuk memacu kegiatan PBT, mencakupi semua golongan tanpa meninggalkan belia.

“Bagi saya ini satu perubahan baharu yang sewajarnya dilakukan untuk memberi tempat kepada belia, duduk sebagai ahli majlis PBT. 

“Bagi MBMB, sejak lebih 19 tahun penubuhannya, inilah kali pertama dalam sejarah kita menerima seorang wakil daripada golongan belia untuk sama duduk memberi pandangan, membuat keputusan dan mengundi,” katanya selepas selesai majlis angkat sumpah jawatan itu.

Sementara itu, Abdul Rafi Mu’iz menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri serta MBMB kerana menerima pelantikannya.

Menurut anak keempat daripada lima adik beradik itu, dia akan membawa suara golongan belia supaya lebih mendapat perhatian.

“Saya sangat terharu kerana ini merupakan penghargaan besar apabila anak muda seperti saya diberikan peluang dan ruang untuk menyandang jawatan sebagai ahli majlis pada usia yang muda.

“Saya akan cuba memberi perkhidmatan terbaik khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, aduan-aduan daripada golongan belia serta tidak terkecuali penduduk sekitarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya