Kereta langgar tiang lampu, dua pemuda maut  - Utusan Malaysia

Kereta langgar tiang lampu, dua pemuda maut 

KEADAAN kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima lelaki terlibat kemalangan di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka melanggar tiang lampu dan terbabas di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim di sini semalam.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Syed Umar Syazrim Syed Hashim, 22, dan Muhamad Faris Amran, 20.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam.

Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun hilang kawalan dan terbabas ketika menghala ke Behrang 2020 melalui Jalan Slim Lama.

“Kereta dinaiki lima lelaki itu telah terlanggar tiang lampu di tengah jalan sebelum terbabas ke seberang jalan arah bertentangan dan mengakibatkan seorang penumpang berusia 20 tahun tercampak keluar dari kereta.

“Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala seorang lagi penumpang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dua penumpang lain berusia 20 dan 23 tahun cedera ringan manakala pemandu kereta pula luka di bahagian muka, kaki dan tangan.

“Ketiga-tiga lelaki yang cedera menerima rawatan di Hospital Slim River. Mayat kedua-dua mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

“Kemalangan berlaku di jalan empat lorong menghala dua hala dengan keadaan jalan basah selepas hujan dan gelap kerana tidak berlampu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya