Masih ada pergerakan tanah, runtuhan batu di kuari - Utusan Malaysia

Masih ada pergerakan tanah, runtuhan batu di kuari

UNIT Dron JBPM Perak digunakan bagi mengesan haba mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat dua mangsa runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini berdepan kesukaran berikutan masih berlaku pergerakan tanah dan runtuhan kecil.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman berkata, operasi yang disambung pada pukul 8 pagi tadi juga terpaksa dihentikan sementara ekoran hujan lebat.

“Pergerakan tanah dan runtuhan kecil masih berterusan sehingga kini. Pasukan penyelamat masih menunggu runtuhan kecil berhenti kerana setiap pergerakan tanah adalah petanda runtuhan besar akan berlaku.

“Penilaian semula struktur tanah sedang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum kerja-kerja menyelamat dapat diteruskan hari ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil penilaian yang dilakukan JMG itu membolehkan pasukan penyelamat menilai strategi dan taktikal operasi yang dapat dilaksanakan bagi mengesan mangsa.

“Saya dimaklumkan operasi akan bermula pada pukul 2 atau 3 petang. Buat masa sekarang, atas nasihat dan pandangan JMG, operasi terpaksa ditangguhkan pagi tadi kerana masih berlaku runtuhan batu di sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, Azmi memberitahu, usaha mengesan kedua-dua mangsa berdepan kesukaran apabila mereka dipercayai tertimbus pada kedalaman sembilan ke 12 meter selain terdapat pergerakan tanah yang mengundang risiko kepada pasukan penyelamat.

Katanya, dua buah jengkaut digunakan dalam operasi pada hari kedua, bagi membuka laluan ke kedudukan mangsa yang tertimbus selain dron yang akan mengesan haba mangsa bagi mengenal pasti kedudukan sebenar mereka.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi kelmarin, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya