KLANG: Sebuah kapal yang berdaftar di Panama ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam Op Ehsan, kira-kira 26 batu nautika barat daya Tanjung Karang, semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, kapal tersebut ditahan kira-kira pukul 4 petang oleh kapal maritim yang sedang membuat rondaan rutin operasi tersebut di sekitar perairan Selangor.
“Kapal kargo ini dikesan sedang berlabuh tunggu tanpa kebenaran melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di luar batas Pelabuhan Klang. Pemeriksaan awal ke atas kapal yang berdaftar di Panama itu mendapati ia dikendalikan 20 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 28 hingga 62 tahun. Kesemua kru merupakan warga asing dari Rusia, Ukraine, Indonesia, Nigeria, Myanmar dan Montenegro serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, walau bagaimanapun nakhoda kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh lantas disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Kata Mohd. Rosli, semakan pegawainya terhadap rekod lokasi kapal tersebut berlabuh mendapati Pelabuhan Klang merupakan lokasi terakhir kapal itu berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia bagi menunggu arahan pihak syarikat untuk menaiki galangan di Jian Zhou, China yang dijangka pada 17 Mac ini.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal turut dibawa ke Ibu pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut. Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Selangor,” tegasnya. – UTUSAN