LANGKAWI: Penduduk di penempatan haram Bukit Malut, di sini yang terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan 17 buah rumah dua minggu lalu menerima bantuan kecemasan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, mangsa terlibat menerima bantuan tunai sebanyak RM300 bagi meringankan beban mangsa.
“Bantuan kecemasan tersebut adalah bantuan yang lazim diberikan kepada mana-mana mangsa bencana alam dan kebakaran.
“Kalau kita lihat sebelum ini pun, tidak ada mangsa kebakaran yang menerima rumah baharu daripada kerajaan negeri, tetapi mereka akan diberikan tempat tinggal sementara mereka membina semula rumah yang telah terbakar,” katanya di sini hari ini.
Firdaus menyatakan, selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan memberi bantuan dalam bentuk makanan kepada 65 orang mangsa yang terlibat.
Tambahnya, pejabat ADUN Kuah turut menyumbang barang keperluan lain seperti lampin pakai buang dan kerusi roda kepada mereka yang memerlukan.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Tepa, Bukit Malut, Taufik Abdullah berkata, mangsa kebakaran tersebut masih tinggal di Masjid Bukit Malut.
“Sebelum ini ada yang mengatakan penempatan Bukit Malut akan disusun semula di sini, tetapi masih belum dapat kepastian di kawasan penempatan baharu yang bakal dibina.
“Saya juga difahamkan kemungkinan tapak rumah yang terbakar itu tidak dibenarkan untuk dibina semula rumah kerana tanah tersebut milik orang lain, tetapi perkara itu masih belum pasti,” ujarnya.
Pada 16 Mac lalu, sebanyak 17 buah rumah di penempatan haram Bukit Malut, di sini terbakar menyebabkan 65 orang mangsa kebakaran tersebut tinggal sehelai sepinggang. – UTUSAN