KUANTAN: Kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini, merupakan seorang yang tidak pernah berkira dengan rakan-rakannya.
Mangsa, Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, 11, memasang impian memasuki syurga, justeru dia sering menghalalkan kesemua hutang rakan-rakannya.
Keluarga mangsa, Faridah Latif, 49, berkata, mangsa yang mesra disapa Medan pernah bercerita tentang rakan-rakan yang berhutang dengannya.
“Arwah pernah bercerita kawannya berhutang, namun ibunya sering meminta arwah agar tidak berkira dan menghalalkan sahaja hutang rakannya itu. Sejak itu arwah sering memberitahu dia menghalalkan semua hutang rakannya kerana dia mahu bantu rakannya dan masuk ke syurga,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gelugor di sini hari ini.
Faridah memberitahu, kerana sifat arwah yang pemurah, dia melahirkan rasa terkilan apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia akibat dibelasah rakannya hanya kerana wang RM4.
“Tidak logik untuk menuduh arwah mencuri wang RM4 itu kerana arwah sendiri seorang yang tidak berkira. Saya memang sangat terkilan kerana seniornya itu sanggup memperlakukan arwah sedemikian,” katanya mendapat tahu tentang kejadian menimpa mangsa pada Ahad malam dari ibu angkatnya.
Katanya, kehilangan arwah yang merupakan anak yang sangat baik dan ceria adalah satu kehilangan yang besar buat mereka sekeluarga.
“Walaupun saya cumalah ibu saudara angkat pada arwah, tapi kami sangat mesra, malah arwah memanggil saya dengan gelaran mama. Kami sering berjumpa setiap kali saya pulang ke rumah ibu angkat yang merupakan nenek arwah di Kampung Gelugor. Arwah sentiasa menceriakan suasana dan bila dia tak ada ini, memang akan terasa sangat kehilangannya,” katanya yang menetap di Maran.
Tambah Faridah, ketika ditemui Januari lalu, arwah dikatakan berhasrat membina pondok dan gelongsor di atas pokok jering bersebelahan rumah dan bengkel bapanya untuk bermain bersama adiknya.
“Arwah siap berpesan pada adiknya supaya menunggunya pulang dari asrama untuk bermain bersama-sama di pondok itu,” katanya.
Difahamkan Muhammad Hafdan Qurbani mula dihantar bagi mendapatkan pengajian agama di kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan sejak setahun lalu.
Arwah dikatakan dihantar untuk memulakan sesi baharu pengajian pada Khamis minggu lalu sebelum dikatakan meninggal dunia akibat dibelasah pelajar senior pada Ahad lalu. – UTUSAN