MELAKA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghadapi ancaman pengganas dengan penggunaan agen kimia, biologi, radiasi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe).
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, Malaysia tidak terkecuali berdepan ancaman tersebut berikutan penggunaan senjata berkenaan semakin luas di seluruh dunia.
Menurutnya, persediaan Tentera Darat menghadapi ancaman itu pula memerlukan latihan khusus dengan penggunaan peralatan berteknologi tinggi.
Justeru kata beliau, Eksesais Mantis Siri 8/2022 selama tiga bulan bersama Angkatan Tentera Kanada (ATK) melalui Pasukan Operasi Khas Kanada (CANSOFCOM) yang berakhir hari ini adalah medium terbaik menguji kompetensi anggota dalam menangani ancaman CBRNe.
“Hasil daripada eksesais yang diadakan ini diharap dapat meningkatkan keupayaan Tentera Darat dalam menghadapi ancaman pengganas yang melibatkan penggunaan unsur-unsur CBRNe dengan lebih berkesan.
“Selain mempelajari taktik, teknik dan prosedur menangani ancaman tersebut, peserta eksesais juga didedahkan kepada perkembangan teknologi terkini menerusi penggunaan peralatan-peralatan yang canggih.
“Selain itu, ATM dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Tentera Darat Kanada yang telah dilaksanakan setiap tahun sejak 2015 dan ini telah memasuki siri kelapan untuk tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan di Padang Pavilion, Kem Terendak di sini hari ini.
Yang turut hadir Duta Kanada ke Malaysia, Wayne Robson.
Terdahulu, satu demonstrasi melawan keganasan CBRNe diadakan termasuk pameran statik dan stesen nyah cemar.
Mohammad menambah, seramai 21 pegawai dan 119 anggota antara kedua-dua negara menyertai latihan berkenaan di beberapa lokasi termasuk di Kuala Lumpur, sepanjang tempoh tiga bulan bermula Januari lalu.
Menurutnya, ia adalah kesinambungan daripada memorandum persefahaman (MoU) kerjasama keselamatan yang ditandatangani antara Malaysia dengan Kanada pada 2013.
“Latihan bilateral itu juga membolehkan Malaysia dan Kanada meneruskan hubungan pertahanan dan keselamatan yang mantap serta semakin berkembang untuk meningkatkan keupayaan operasi menentang keganasan ancaman CBRNe,” jelasnya. – UTUSAN