Malaysia tidak layan tuntutan terhadap Sabah - Utusan Malaysia

Malaysia tidak layan tuntutan terhadap Sabah

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan tidak akan melayan tuntutan mana-mana pihak berkenaan Sabah.

Perdana Menteri berkata, tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu  terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara  (arbitration) antarabangsa  tidak sah dan melanggar undang undang. 

Ini kerana, kata beliau, pelantikan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa dibatalkan Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu. 

“Walaupun pelantikan Stampa telah dibatalkan, tetapi Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah mengeluarkan Final Award tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Malaysia memandang serius isu  kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Sabah dalam Malaysia. 

Beliau menjelaskan, Negeri Sabah telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963. 

Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, Perdana Menteri berkata, kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award tersebut pada 3 Mac lalu di Mahkamah di Paris. 

“Ini  bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut. 

“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan  Negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya