SEPANG: Malaysia masih memerlukan lebih ramai pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) yang mampu mendidik pelajarnya menyesuaikan keperluan kompleks semasa sejagat.
Justeru, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Norani Ahmad menyeru mereka menjadikan figura hebat akademik sebagai contoh yang memberikan sumbangan besar kepada tanah air.
“Dalam persekitaran global yang tidak menentu sekarang, kita sangat perlu ahli akademik yang bukan sahaja berkualiti, malah komited membangunkan kompetensi profesional,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-14 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, malam tadi.
Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara dalam acara diperkenalkan kementerian itu sejak 2006 yang turut menyaksikan 86 penerima dalam tujuh kategori diwujudkan, antaranya Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, anugerah berprestij itu membuktikan komitmen kementerian untuk terus membangunkan mutu barisan pensyarah dan pengajar IPT yang lebih cemerlang selari dengan Lonjakan Kedua dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu aspek kecemerlangan bakat sumber manusia.
Beliau memberi contoh bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara digital susulan kemunculan wabak Covid-19 sejak 2020 lalu yang menuntut ahli akademik untuk bersifat inovatif.. – UTUSAN