PETALING JAYA: Malaysia perlu membentuk satu ekosistem yang mesra wanita dalam segala segi menerusi pelaksanaan undang-undang dan dasar-dasar kerajaan.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, perkara itu adalah aspirasinya ketika ini, bagi membolehkan wanita dapat memaksimumkan potensi mereka sepenuhnya tanpa sebarang diskriminasi, gangguan mahupun tekanan.
Katanya, apabila Malaysia dapat mewujudkan sebuah ekosistem bahawa wanita dapat diraikan dengan selamat, keperluan mereka dihormati, sudah tentu lebih ramai golongan itu dapat bersama dalam membina masa depan masyarakat dan negara.
“Untuk mewujudkan persekitaran yang mesra wanita, perlu ada pertimbangan bagi memenuhi keperluan para wanita, dari sebesar-besar perkara seperti jurang gaji jantina, perlindungan daripada gangguan seksual sehinggalah kepada mewujudkan prasarana jagaan kanak-kanak serta kemudahan ibu untuk bekerja secara fleksibel mahupun bagi menyusu bayi yang baru lahir.
“Justeru, pengenalan Rang Undang-Undang baharu yang mengawal semua pekerja seperti memperkenal cuti paterniti, melanjutkan cuti bersalin dan membenarkan waktu bekerja yang fleksibel, di samping Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) harus dilaksanakan secepat mungkin,” katanya bersempena Hari Wanita 2022 yang bertemakan Saksama Bersama.
Pada masa sama, Nurul Izzah juga menyifatkan Malaysia perlu melakukan pembaharuan terhadap undang-undang yang berkaitan dengan pekerja wanita.
“Kita perlu mewujudkan persekitaran dan perubahan menerusi undang-undang pekerja yang melindungi pekerja gig serta pekerja sektor informal misalnya, yang jauh lebih menyeluruh berbanding perlindungan sosial asas semata-mata.
“Lebih-lebih lagi dalam dunia pasca pandemik, yang dilihat terlalu ramai wanita yang bekerja dalam sektor informal tanpa perlindungan sosial ataupun insuran bagi melindungi kebajikan mereka,” katanya.
Justeru, beliau menganggap Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin wanita dalam soal penggubalan dasar-dasar berorientasikan pemerkasaan hak dan melindungi kebajikan para wanita.
“Ia dibuktikan contohnya manfaat daripada program i-Suri yang memberi pulangan kepada para wanita menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ternyata dinikmati suri rumah seluruh negara sejak ia mula dilancarkan pada 15 Ogos 2018, hasil cetusan ilham bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, peranan seorang pemimpin wanita dalam sesebuah organisasi bukan hanya terhad sebagai pelengkap kuota semata-mata.
“Pemimpin wanita perlu hadir dengan gagasan dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan sifat empati bagi membela nasib rakyat, membawa suara para wanita dan memperjuangkan hak mereka.
“Kita memerlukan pemimpin wanita serta lelaki di barisan hadapan yang prihatin dan berempati agar mampu membawa perubahan yang bermakna,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Malaysia wajar mempunyai Perdana Menteri wanita suatu hari nanti, beliau hanya berharap negara ini mendapat pimpinan yang benar-benar prihatin terhadap rakyat serta kewibawaan, kredibiliti dan integriti.
“Bukan soal gender semata-mata, tetapi kerangka dan idea yang dipakai harus seiring dengan kemahuan rakyat, terutama para wanita yang mewakili hampir separuh rakyat negara kita,” katanya. – UTUSAN