KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sedang membangunkan kaedah pemberian vaksinasi melalui mulut dan semburan hidung.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kaedah itu sedang diteliti kerana terdapat rakyat Malaysia yang takut kepada jarum suntikan.
“Antara yang menjadi ketakutan rakyat ialah takut kepada jarum suntikan. Maka antara pembangunan yang sedang diusahakan pemberian secara oral (mulut) dan nasal spray (semburan hidung),” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang ingin tahu sama ada PPVN tertumpu kepada penghasilan vaksin Covid-19 atau lain-lain.
Menurut Ahmad Amzad, PPVN tidak tertumpu kepada penghasilannya semata-mata, sebaliknya melibatkan kapasiti umum untuk penyakit manusia secara tempatan.
“Berkaitan tempoh 10 tahun, itu adalah dalam segi pembangunan kapasiti agar dalam tempoh itu, kita ada kapasiti untuk hasilkan sepenuhnya pengeluaran vaksin secara tempatan.
“Bagaimanapun, buat masa ini, Malaysia hanya mempunyai kapasiti untuk menghasilkan vaksin haiwan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan prestasi dan juga tahap kajian yang dilakukan ketika ini, sekitar tahun 2024, Malaysia akan mempunyai calon vaksin Covid-19 yang pertama. – UTUSAN