SEREMBAN: Sebuah makmal ujian Covid-19 milik bumiputera, NSC-Zammedi Lab yang pertama di negeri ini telah ditubuhkan bagi menampung permintaan saringan yang tinggi bagi menjalani ujian tersebut.
Pengerusi Perbadanan NS, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, makmal yang beroperasi sejak Januari lalu dengan kos sebanyak RM2 juta merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan ujian Covid-19 pada harga berpatutan.
“Makmal ini menyediakan ujian saringan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dengan keputusan yang lebih cepat, malah, harganya lebih murah berbanding di tempat lain.
“Dalam keadaan peningkatan kes Covid-19, kebanyakan sampel ujian dihantar ke makmal di Lembah Klang dan keputusannya agak lambat, namun, di makmal ini keputusan ujian RT-PCR boleh diperoleh dalam masa lapan jam sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Di antara Perbadanan NS dan Unclezam Holding Berhad Bagi Penubuhan Makmal NSC-Zammedi-Lab.
Turut hadir Pengarah Unclezam Holding Berhad, Norizam Tukiman.
Menurut Mohamad Rafie, sejak fasa awal pendemik Covid-19 di negara ini, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan sektor kesihatan swasta bagi menghadapi peningkatan kes.
“Makmal swasta juga memainkan peranan penting untuk menampung permintaan saringan yang tinggi bagi menjalankan ujian Covid-19 ketika ini,” katanya.
Mohamad Rafie yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri berkata, pembukaan makmal baharu itu juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan terutama dalam sektor kesihatan.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah NSC-Zammedi Lab, Dr. Nik Haziman Wan Hamat berkata, makmal yang dilengkapi dengan peralatan moden dan kakitangan bertauliah itu mampu memproses 1,000 sampel ujian Covid-19 sehari.
“Pelanggan boleh datang secara terus untuk membuat ujian Covid RT-PCR pada harga RM150 sahaja, selain itu, terdapat juga ujian antibodi (RM100) untuk mengetahui tahap antibodi selepas vaksin.
“Pada masa hadapan, kami berhasrat menyediakan perkhidmatan ujian kesihatan lain termasuk pemeriksaan kolesterol, gula dan darah,” katanya lagi. – UTUSAN