PETALING JAYA: Majoriti negara di seluruh dunia telah mengambil pendekatan mengawal selia produk rokok elektronik atau e-rokok dan vape kerana ia adalah produk unik sesuai untuk menggantikan produk berasaskan tembakau.
Ada negara-negara terbabit mengambil pendekatan mengawal selia produk vape dan rokok elektronik sebagai produk tembakau. Ada juga yang kawal sebagai produk perubatan. Namun ada juga negara melarang penggunaannya sama sekali.
Satu kajian yang diterbitkan oleh empat orang penyelidik iaitu Brook Campis, Patrick Fafard, Jesicca St Pierre dan Stevan J.Hoffman, bertajuk Comparing the regulation and incentivization of e-cigarettes across 97 countries telah membuat pembandingan undang-undang kawal selia dan peraturan yang dilaksanakan.
Daripada kajian mereka itu didapati majoriti negara dunia telah mewujudkan garis panduan atau peraturan untuk mengawal selia produk ini.
Menurut laporan kajian di mana salah seorang penyelidiknya merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Saintifik Produk Vape untuk Kerajaan Kanada, sebanyak 64 negara mengambil langkah mengawal e-rokok sebagai ‘produk unik’.
Ini kerana e-rokok bukannya produk berasaskan tembakau atau produk perubatan.
Ini bagi membolehkan satu undang-undang dan peraturan khusus digubal khas untuk produk ini mengikut kesesuaiannya dan keperluan pengguna.
Laporan kajian itu turut menyatakan keseimbangan yang optimum dalam menggubal dasar e-rokok banyak bergantung kepada negara masing-masing berdasarkan keperluan unik, situasi dan matlamat rakyat mereka.
“Bagi negara yang mempunyai kadar merokok yang tinggi, pendekatan mempromosikan e-rokok sebagai alat pengurangan kemudaratan dikatakan paling sesuai untuk membantu mencapai matlamat berhenti merokok.”
“Manakala di negara yang mempunyai kadar perokok yang rendah, memperkenalkan e-rokok mungkin mendatangkan kesan yang negatif”
Laporan tersebut juga menyebut penggubalan dasar yang sesuai bukannya mudah kerana pelbagai faktor perlu diambil.
Berbahaya
Terutamanya apabila ada dua spektrum yang berlainan dari segi pandangan di mana dari satu sudut ada yang menyatakan e-rokok itu adalah berbahaya, menjadi pintu kemudaratan, membuatkan perokok ketagih dengan kedua-dua produk rokok dan e-rokok.
Manakala satu lagi sudut menyatakan e-rokok membolehkan perokok menggunakan produk yang kurang mudarat, mengurangkan jumlah rokok dan membolehkan perokok berhenti merokok sama sekali.
Di akhir laporan tersebut, mereka mencadangkan pembuat dasar dan penggubal undang-undang membentuk satu dasar yang komprehensif bagi memudahkan perokok tegar mendapat akses kepada konsep alternatif kurang mudarat.
Dalam masa yang sama mempermudahkan perlindungan kesihatan untuk populasi yang tidak merokok termasuk belia.
“Objektif ideal pengawalseliaan e-rokok adalah untuk meminimumkan penggunaan produk ini, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak pernah merokok, sambil memaksimumkam potensi untuk perokok menggunakannya sebagai medium untuk berhenti merokok,” kata laporan tersebut.
Di Malaysia telah dinyatakan bahawa Kementerian Kesihatan akan menggubal undang-undang baharu dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini bagi mengurangkan kadar perokok di Malaysia.
Akta tersebut juga akan melihat peraturan baru diperkenalkan untuk e-rokok. – UTUSAN