TASEK GELUGOR: Tidak membuat permohonan perakuan penginapan terhadap pekerja, namun pada masa yang sama mampu menyediakan penginapan kepada 14 pekerja tempatan dan warga asing termasuk dari Laos, Indonesia dan Nepal.
Itu antara kesalahan yang dikesan dalam kalangan majikan menerusi Op Banteras yang dijalankan secara bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini.
JTK negeri dalam kenyataan memberitahu, kesalahan gagal membuat perakuan penginapan itu akan disiasat di bawah Seksyen 24D dan Akta 446.
Katanya, majikan itu juga akan disiasat di bawah Peraturan Akta 446 kerana gagal mematuhi kehendak minimum penginapan untuk pekerja seperti yang digariskan dalam peraturan sebelum ini.
Jelas kenyataan itu, kesalahan lain yang turut dikesan dalam operasi itu ialah di bawah Perintah Gaji Minimum 2020 iaitu majikan gagal mematuhi kehendak gaji minimum RM1,200 ketika diperiksa.
“Selain itu, terdapat juga pelanggaran di bawah Akta Kerja 1955 apabila kita mendapati ada majikan yang gagal menyimpan daftar pekerja serta gagal menyerahkan salinan kontrak perkhidmatan kepada pekerja.
“Pada masa sama, ada majikan yang menetapkan waktu bekerja melebihi 12 jam sehari serta gagal melaporkan penggajian pekerja asing seperti yang dipinta,” katanya.
Selain JTK negeri, turut serta dalam operasi tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurut kenyataan itui, Op Banteras memfokuskan kepada usaha membanteras elemen buruh paksa melalui penguatkuasaan akta-akta yang dikuatkuasakan oleh JTK serta agensi yang berkaitan termasuk Akta ATIPSOM 2007; Akta 446 dan Akta Kerja 1955.
Katanya, semakan indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang yang diguna pakai penguat kuasa JTK dalam operasi itu juga merujuk kepada ’11 Indikator Buruh Paksa’ yang telah digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk panduan siasatan.
Antara indikator itu tambahnya, termasuk menyalahgunakan golongan lemah, pemerdayaan dan penipuan, gagal memberi upah, masa kerja yang panjang, ancaman serta ugutan dan sebagainya. – UTUSAN