PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung semakan kehakimannya yang memohon mahkamah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah dan bersidang bersama-sama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Darryl Goon Siew Chye sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Idrus melalui Peguam Persekutuan, Low Wen Zen.
Pada 3 Februari 2021, Khairuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan memfailkan permohonan semakan kehakiman itu atas alasan Idrus telah gagal menjalankan tugasnya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan memaklumkan bahawa Muhyiddin sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli parlimen dan tidak layak untuk memberi apa-apa nasihat kepada baginda.
Sehubungan itu, Khairuddin memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus (mendesak) terhadap Idrus selaku responden untuk menasihati Muhyiddin pergi menghadap Seri Paduka untuk meletakkan jawatannya selaku perdana menteri selepas hilang kepercayaan majoriti di Parlimen.
Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Hanipah menyatakan asas utama rayuan Khairuddin adalah dakwaan bahawa Idrus sebagai Peguam Negara gagal menjalankan tugasnya untuk menasihati Muhyiddin untuk meletakkan jawatan.
“Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin telahpun meletakkan jawatannya. Jadi, isu utama sekarang adalah sama ada semakan kehakiman yang dipohon oleh perayu (Khairuddin) boleh diteruskan atau telah menjadi akademik,” kata hakim itu.
Muhyiddin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos 2021 selepas kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ujar Hakim Hanipah, adalah sesuatu perkara yang tidak boleh disangkal bahawa mahkamah tidak boleh melayan isu-isu yang telah menjadi akademik atau berbentuk hipotesis.
“Berbeza dengan kes membabitkan larangan perjalanan yang dikenakan terhadap Maria Chin Abdullah yang mana terdapat keputusan yang memberikan kesan terus kepada wanita itu, fakta yang terdapat dalam kes hari ini tidak lagi wujud.
“Ini menjadikan semakan kehakiman yang dimohon hanyalah pengulangan terhadap Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan yang mana deklarasi yang dimohon tidak mendedahkan apa-apa pandangan yang bertentangan dengan peruntukkan tersebut,” jelas Hakim Hanipah.
Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang.”
Sehubungan itu, panel terbabit membenarkan bantahan awal yang dikemukakan dan menolak rayuan oleh Khairuddin dengan kos sebanyak RM10,000.
Khairuddin memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Khairuddin yang memohon perintah mandamus bagi Idrus menasihati Muhyiddin supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Pada 27 April 2021, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan tersebut selepas mendapati Khairuddin tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan undang-undang itu.
Hakim terbabit dalam penghakimannya turut menyatakan Khairuddin gagal menunjukkan bagaimana beliau terkesan teruk oleh tindakan Idrus tidak menasihati Muhyiddin supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN