Mahkamah arah kes bunuh dibicara semula

Mahkamah arah kes bunuh dibicara semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memerintahkan agar kes bekas seorang pekerja kedai permainan video yang didakwa membunuh seorang ahli perniagaan hampir enam tahun lalu dibicarakan semula.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pembelaan yang mewakili perayu, Khiew Bu Poh.

Mahkamah turut mengetepikan sabitan salah dan hukuman mati yang dikenakan ke atas Bu Poh, 50, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Februari 2019. Mahkamah Rayuan turut mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut pada 10 Ogos 2020.

Pada prosiding hari ini, Bu Poh diwakili peguam-peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik dan Nik Muhammad Ikhwan Nik Mahmud manakala pendakwaan yang dinamakan sebagai responden diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad dan Nahra Dollah.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Abdul Rahman menyatakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan tersebut telah membuat keputusan yang menyalahi undang-undang.

“Berdasarkan nota prosiding, peguam bela pada hari pertama perbicaraan telah membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah meminta tertuduh dihantar untuk pemerhatian psikiatri.

“Permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 342 itu sepatutnya diberi perhatian dan Hakim Bicara sepatutnya mengambil tindakan yang sewajarnya. 

“Sebaliknya, hakim bicara telah bertindak secara salah dengan membiarkan perbicaraan diteruskan sehingga 11 orang saksi pendakwaan dipanggil sebelum mengarahkan tertuduh dihantar untuk pemerhatian psikiatri,”kata Hakim Abdul Rahman.

Tindakan tersebut bukan sekadar ketidakpatuhan aturan tetapi merupakan sesuatu yang menyalahi undang-undang, ujar panel terbabit.

“Kami (Mahkamah Persekutuan) terpaksa membenarkan rayuan pihak pembelaan dan sabitan serta hukuman mati yang dikenakan diketepikan. Kes diarahkan untuk dibicarakan semula di hadapan hakim yang berbeza. Kes akan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mac ini,”kata hakim tersebut.

Pada 29 Ogos 2016, Bu Poh didakwa atas pertuduhan membunuh Wong Fong Sing pada pukul 6.12 pagi, 19 Ogos 2016 di sebuah rumah di Taman Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut laporan media, mayat mangsa yang mempunyai enam kesan tembakan dan hujung jarinya terputus ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan kira-kira 500 meter daripada rumah suspek. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya