Lori rempuh 9 motosikal bawah jejambat, 2 penunggang maut

Lori rempuh 9 motosikal bawah jejambat, 2 penunggang maut

KEADAAN lori yang merempuh sembilan motosikal dan mengakibatkan dua penunggang maut dalam kemalangan  di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Selatan dekat Bedong, Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua orang maut manakala enam lagi penunggang motosikal yang berteduh di bawah jejambat cedera selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Selatan, dekat Bedong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian  membabitkan sembilan buah motosikal dan sebuah lori yang sedang menghala ke selatan dari Gurun ke Sungai Petani itu berlaku pada pukul 2.40 petang

Katanya, dua penunggang motosikal yang maut ialah Mohd. Amirul Ismail, 28, dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, dari Taman Seri Marina, Kuala Kedah.

Katanya, kedua-dua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kesemua sembilan buah motosikal berada di lokasi kejadian kerana mencari tempat berteduh daripada hujan lebat dan tidak mengenali antara satu sama lain.

“Kedudukan kesemua motosikal yang terlibat diletakkan secara dua lapis di lorong kecemasan dan kesemua penunggang berada di sisi kenderaan masing-masing.

“Secara tiba-tiba sebuah lori yang bergerak di lorong kiri datang dari arah belakang  merempuh kesemua motosikal yang sedang berhenti di jejambat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adzli memberitahu, tangkapan dilakukan ke atas pemandu lori berusia 28 tahun dan permohonan reman dibuat esok.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif dan ujian EBA II juga didapati bebas daripada alkohol.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk ujian saringan Covid-19 dan dibedah siasat,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat, Mohd. Aminnudin Yusof, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Guar Chempedak di sini ke tempat kerjanya di Pulau Pinang, sebelum singgah berteduh di lokasi kejadian untuk memakai baju hujan.

Katanya, ketika kejadian itu, dia turun dari motosikalnya untuk memakai baju hujan sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.

“Motosikal saya adalah yang pertama dirempuh lori tersebut sebelum ia merempuh lapan lagi motosikal lain.

“Saya sempat melihat beberapa penunggang lain terpelanting ke kiri jalan selepas dirempuh lori tersebut. Semua berlaku dengan pantas dan bersyukur kerana saya terselamat dalam kejadian itu,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya