Lombong bitcoin: Pengarah direman bantu siasatan kes rasuah

Lombong bitcoin: Pengarah direman bantu siasatan kes rasuah

PENGARAH sebuah syarikat pendawaian direman empat hari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur \ bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah sindiket bitcoin kepada pekerja TNB. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat pendawaian direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah pekerja Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang didakwa diberikan oleh sindiket melombong bitcoin.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Nur Farahain Roslan memerintahkan lelaki berusia 33 tahun itu direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Media melaporkan, pengarah syarikat itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, SPRM sudah menahan 18 individu bagi membantu siasatan kes suapan rasuah oleh sindiket bitcoin kepada pekerja TNB menerusi Op Power, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek lelaki berusia 30 hingga 60 tahun itu adalah warga tempatan dan salah seorang mereka termasuk dalang sindiket berkenaan.

Menurut Azam, siasatan mendapati, suspek dipercayai menawarkan wang rasuah antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pekerja TNB supaya tidak diambil sebarang tindakan atau membocorkan maklumat operasi.

Dalam operasi itu, SPRM turut merampas wang rasuah berjumlah RM2.37 juta membabitkan 998 premis melombong bitcoin selain wang tunai RM281,180 daripada kesemua individu yang ditahan.

SPRM turut membekukan aset berjumlah RM4.47 juta membabitkan 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun bank selain menyita 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.34 juta.

“Sitaan turut membabitkan nilai e-wallet berjumlah RM82,000 dan wang kripto bernilai USD$25,893.46 selain lima buah kereta mewah jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi,” katanya.

Azam berkata, pihaknya berjaya mengesan 998 premis melombong bitcoin di seluruh negara yang dikesan mencuri bekalan elektrik dengan cara menggunakan alat khas bagi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik bulanan.

Menurutnya, data TNB mendedahkan kecurian elektrik hasil daripada perlombongan bitcoin ini menyebabkan TNB kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN