BINTULU: Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk membangunkan loji hidrogennya di Zon Perindustrian Kidurong di sini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata loji berkenaan akan mula dibangunkan tahun depan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan perincian projek tersebut termasuk kosnya.
“Kita ada lagi satu cadangan di mana loji hidrogen akan juga dibangunkan pada tahun hadapan di kwsan yang sama jadi kedatangan saya ialah untuk membuat perancangan yang lebih teliti dari segi kawsan tanah,” katanya.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita ketika melawat ke Sarawak Petchem Mehtnol di kawasan Zon Perindustrian Kidurong di sini hari ini.
“Saya mengadakan lawatan ke sini hari ini kerana kita (kerajaan) telah menerima beberapa cadangan daripada pelabur-pelabur baharu yang hendak menempatkan operasi mereka di sini.
“Sekarang pun kita ada pelaburan baharu dari Amerika Syarikat yang sedang membangunkan hab perubatan bagi mengeluarkan bahan-bahan perubatan.
“Sekarang mereka sedang membangunkan fasa pertama hab berkenaan yang menelan belanja RM200 juta dan selepas itu mereka akn melaksanakan fasa kedua membabitkan paburan kira-kira RM800 juta,” katanya.
Oleh itu, katanya lawatan beliau adalah untuk meninjau kawasan berkenaan serta kemudahan infrastruktur yang sudah ada supaya perancangan yang lebih teliti dapat dilakukan dari segi keluasan kawasan tanah, kemudahan perumahan lebih selesa untuk pekerja serta kemudahan jalan raya.
“Malam ini saya akan mengumumkan juga apa yang kita laksanakan dari sudut pengangkutan awam antara bandar Bintulu dan Kidurong, jadi sebenarnya hari ini saya telah dapat melihat kawasan-kawasan yang akan kita rancang untuk industri yang akan datang di sini,” katanya.
Beliau berkata, menjelang tahun 2060 diunjurkan seramai 25,000 orang akan bekerja dalam pelbagai industri di kawasan berkenaan.
“Kalau semua pembangunan ini dapat berjalan dengan lancar selepas loji methanol dan hidrogen dibangunkan serta hab perubatan dan minyak dilaksanakan bermakna sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (GDP) sekurang-kurangnya enam hingga tujuh peratus selepas tahun 2030,” tambah beliau.-UTUSAN