KLANG: Hujan lebat berterusan mengakibatkan lima kawasan di sekitar Meru di sini, dilanda banjir kilat petang tadi.
Kejadian bermula kira-kira pukul 4 petang itu melibatkan Jalan Teratai, Jalan Kenangan, Taman Meru 3 dan 9 serta pekan Meru dan paras air bagaimanapun hanya kurang daripada 0.5 meter serta tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerusi pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 4.25 petang.
“Pemeriksaan mendapati hujan lebat menyebabkan Jalan Teratai, Jalan Kenangan, Taman Meru 3 dan pekan Meru dinaiki air sehingga paras buku lali atau bawah 0.5 meter. Situasi di lokasi bagaimanapun terkawal dan banjir mulai surut selepas hujan renyai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat di Taman Meru 9, pukul 5.58 petang tadi.
“Pemantauan mendapati kejadian berpunca longkang tersumbat namun kembali surut tidak lama kemudian. Kira-kira 10 rumah dinaiki air namun kembali terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan. Kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan akan menjalankan pemantauan berterusan di lokasi tersebut,” katanya. – UTUSAN