PETALING JAYA: Lagu Lembaran Juzuk Cinta muncul juara Anugerah Lagu Nasyid Terbaik dalam Carta Nasyid Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Lagu yang didendangkan oleh Halim Ahmad dan Furqan Fawwaz itu turut merangkul Anugerah Lirik Terbaik.
Naib juara pula jatuh kepada Marhaban Ya Rasulullah nyanyian Rabbani dan Daqmie, diikuti Carilah Aku Di Nerakan nyanyian Fadzlie Far East dan Maliq Suhaimi.
Darwish yang mendendangkan lagu Safiyyah dinobatkan sebagai Anugerah Artis Baharu Terbaik serta memenangi Anugerah Pencapaian Terbaik Carta Nasyid IKIM dan Anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan apabila menyanyikan lagu itu bersama Far East.
Penyanyi terkenal tanah air, Khai Bahar memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Artis Solo Pilihan dan memenangi Anugerah Lagu Pilihan menerusi lagu Ratuku.
Lagu Rahsia Dari Langit nyanyian Afad dan Simfoni pula memenangi Anugerah Video Muzik Terbaik.
Anugerah carta Nasyid IKIM pada tahun ini diadili oleh barisan tiga juri profesional menyaksikan sepuluh kategori dipertandingkan.
Anugerah itu dipersembahkan menerusi Majlis Apresiasi Carta Nasyid IKIM yang dianjurkan bersempena Sambutan Ulangtahun IKIM ke-30 di Dewan Sajian IKIM bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada lagu-lagu nasyid tanah air yang disiarkan melalui rancangan Carta Nasyid IKIM.
Penganjuran acara secara hybrid itu sekaligus memberi peluang kepada pendengar radio dan peminat lagu nasyid untuk menyaksikan acara penuh di platform digital yang disediakan iaitu di Youtube IKIM Media, Facebook IKIM, Facebook TvIKIM dan laman web www.tvikim.my.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamad Azam Mohd Adil berkata, walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang memasuki tahun ketiga pada tahun ini, IKIM mengambil pendekatan untuk terus melaksanakan agenda dan aktivitinya seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang digariskan oleh pihak berwajib.
“Acara ini penting bagi menterjemahkan semangat dan komitmen IKIM dalam mengiktiraf dan seterusnya memartabatkan lagu-lagu nasyid yang saban hari bersiaran di radio IKIM.
“Bahkan, acara ini adalah untuk memberi penghargaan kepada penggiat seni lagu nasyid yang terdiri daripada komposer, penulis lirik, penyanyi dan semua pendengar radio yang secara langsung dan tidak langsung menyokong lagu-lagu nasyid melalui rancangan Carta Nasyid IKIM.
“Semoga dengan penganjuran acara ini akan mencetuskan semangat yang lebih gigih kepada sesiapa sahaja terutama penggiat nasyid dalam melahirkan karya yang lebih bermutu dan bermanfaat buat ummah dan negara yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan.
Rancangan Carta Nasyid IKIM dikendalikan oleh penerbit Mohd. Erwan Johari, Pengurus Muzik Radio IKIM telah memasuki tahun ke 20, bersiaran pada setiap hari Sabtu jam 10.00 pagi dan siaran ulangan pada Ahad, jam 9.00 malam. – UTUSAN