IPOH: Seorang lelaki Orang Asli antara dua pemandu jengkaut yang dipercayai tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini hari ini.
Mangsa Orang Asli itu ialah Itam Bah Laso, 43, manakala identiti seorang lagi lelaki warga tempatan belum dikenal pasti.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi itu, dua pekerja kuari masing-masing berusia 35 dan 38 tahun pula terselamat namun mengalami kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, empat mangsa terlibat yang mana dua terselamat dan dua lagi tertimbus di bawah runtuhan batu.
“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) berada di lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari mangsa,” katanya di sini hari ini.
Operasi mencari mangsa melibatkan 18 pegawai dan anggota bomba, 13 polis, Pejabat Tanah dan Galian Daerah serta Jabatan Mineral dan Geosains Perak. – UTUSAN