PETALING JAYA: Seorang lelaki melecur 50 peratus di badan apabila sebuah rumah di Jalan Terolak 2, Jalan Bamboo dekat sini terbakar hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 petang dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
Menurut komander operasi, Mohd. Azizi Abdullah berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Balai Bantuan BBP Gombak Selatan, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Hang Tuah bersama empat jentera FRT, satu Water Tanker, satu ALP dan satu unit EMRS dengan kekuatan 47 orang anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran melibatkan bahagian dapur rumah teres setingkat.
“Bahagian dapur itu turut disimpan klorin sebanyak 20 kilogram dan terbakar 20 peratus.
“Pasukan HAZMAT telah di arahkan ke lokasi kejadian bagi bantuan kerja menyahcemar bahan kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat kejadian itu, seorang lelaki berumur 30-an melecur 50 peratus dan kini dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ujarnya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN