PETALING JAYA: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran pusat beli-belah Sogo pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.47 pagi seterusnya menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa ke lokasi kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kereta model Proton Waja, Perodua Bezza dan Toyota Alphard.
“Terdapat seorang mangsa lelaki merupakan pemandu Proton Waja berusia 37 tahun tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Mangsa telah meninggal dunia setelah disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemandu Perodua Bezza didapati cedera ringan manakala dua lagi individu menaiki Toyota Alphard tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan pasukan trafik sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” ujar beliau. – UTUSAN