Lelaki mabuk dipenjara empat tahun, denda RM15,000 langgar polis - Utusan Malaysia

Lelaki mabuk dipenjara empat tahun, denda RM15,000 langgar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara empat tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mengakibatkan kecederaan parah ke atas rakan setugas polis itu, empat tahun lalu.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhi hukuman itu ke atas N. Mohan Rao, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika dia gagal membayar denda itu serta lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Roshan Selvaratnam yang mewakili Mohan Rao untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara empat tahun itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohan Rao didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Konstabel Mohd. Zamiri Sinsian, 25, dan kecederaan parah ke atas Konstabel Osman Ibrahim, yang ketika kejadian berusia 23 tahun di Jalan Semantan menghala ke arah pusat bandar di sini pada 3.30 pagi, 5 Disember 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhana Che Awang dan tertuduh turut diwakili seorang lagi peguam iaitu Tay Yi Kuan.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya