ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki ditemukan mati rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah kereta di tepi jalan berhampiran perumahan Iskandar Malaysia, di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 12.03 tengah malam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dan temu bual terhadap saksi awam mendapati kereta berkenaan berhenti di tepi jalan bahagian luar perumahan itu dalam keadaan enjin hidup, lampu menyala dan terbakar.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki telah terbakar dan pemeriksaan mendapati tiada butiran atau pengenalan diri serta barang-barang berharga yang dijumpai bersamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, mayat mangsa telah dikeluarkan oleh Anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di lokasi.
“Mayat mangsa yang dalam keadaan rentung hampir seluruh badan, tangan dan jari terputus telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat. Waris dan keluarga mangsa masih dikesan,” ujarnya.
Tambahnya, kertas siasatan melibatkan kes kematian mengejut (SDR) telah dibuka dan siasatan masih diteruskan. – UTUSAN