JOHOR BAHRU: Seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi di tempat khas apabila disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan di pusat mengundi Dewan Kampung Melayu, di sini hari ini.
Menurut petugas Kementerian Kesihatan, lelaki berusia 58 tahun yang tidak membawa telefon bimbit itu dipanggil untuk menjalani ujian tersebut sebelum dibenarkan masuk ke dewan untuk mengundi.
“Pada awalnya dia tidak memberitahu ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19, namun setelah mendapati keputusan positif barulah dia mengaku ada kontak rapat dengan adik ipar yang positif.
“Mana-mana individu yang tidak membawa telefon bimbit untuk mengimbas Mysejahtera akan menjalani ujian saringan sebagai langkah berjaga-jaga. Setakat ini, hanya tiga individu mengundi di ruangan khas dan hanya lelaki itu sahaja didapati positif, manakala yang lain menunjukkan tanda oren dan kuning di aplikasi MySejahtera mereka,” katanya.
Sementara itu, penyelia pusat mengundi berkenaan, Mohamad Md. Tahir berkata, bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan pusat mengundi berada di tahap terbaik, proses sanitasi akan dilakukan dari semasa ke semasa.
Katanya, proses sanitasi akan dibuat sebanyak tiga kali untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku di pusat mengundi yang mempunyai lima saluran dengan seramai kira-kira 3,000 pengundi berdaftar. – UTUSAN