KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara empat bulan dan didenda RM16,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan kad loyalty Petron Miles dan kad Touch ‘n Go.
Majistret S. Mageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Cheng Chee Chong, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Mac lalu. Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut, dia boleh dipenjara selama 12 bulan dan tertuduh menjelaskannya.
Mengikut pertuduhan pilihan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah memalsukan 5,200 keping kad Loyalty Petron Miles dan 1,400 keping kad Touch ‘n Go (Watson).
Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kerugian kepada syarikat Petron dan syarikat Touch ‘n Go.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Jalil Perwira 2, Bukit Jalil di sini pukul 2 petang pada 16 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua, tertuduh dipenjara masing-masing selama empat bulan dan denda RM8,000.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa serentak manakala denda dikenakan berjumlah RM16,000.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibu dan bapanya.
Namun Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menyebabkan kerugian besar kepada kedua-dua syarikat itu.
Pada 17 Mac lalu, media melaporkan polis menahan tertuduh kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan tambah nilai Touch ‘n Go dan kad mata ganjaran secara tidak sah dalam serbuan di sebuah kondominium mewah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, hasil serbuan itu polis berjaya merampas satu komputer riba, lapan telefon bimbit, 1,400 kad TnGo, 5,200 kad mata ganjaran, 35 ikatan resit kad ganjaran, tiga buku cek dan satu pembaca data kad yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan itu. – UTUSAN