Leissner akui banyak berbohong - Utusan Malaysia

Leissner akui banyak berbohong

leissner
TIM LEISSNER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs yang juga saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan jenayah yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tim Leissner mengakui banyak berbohong dalam kehidupannya.

Dalam sesi pemeriksaan balas semalam, beliau mengaku dua kali berkahwin secara rahsia dengan dua wanita pada masa yang sama. Dan sekurang-kurangnya pernah memalsukan sijil perceraian untuk mengelirukan seorang wanita yang mahu dikahwini.

“Saya banyak berbohong tuan dan saya menyesal melakukan demikian,” katanya. Dia berkata demikian ketika diasak peguam bela bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng mengenai hubungan romantiknya dengan lima wanita berlainan.

Bekas pegawai bank itu memberi keterangan dalam perbicaraan Roger Ng yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat berkaitan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama pada tahun 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan.

Pasukan pembelaan Ng cuba menunjukkan Leissner adalah dalang sebenar dalam skim itu dan berbohong mengenai pembabitan Roger bagi mengelak hukuman penjara.

Dakwaan itu mempunyai kaitan dengan salah sebuah skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Bayaran

Menurut pendakwa raya, Goldman mengumpul sebanyak AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion) untuk 1MDB menerusi penjualan bon dan memperoleh bayaran AS$600 juta (RM2.5 bilion) dari tahun 2009 hingga 2014.

Namun, jelasnya, sebanyak AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) daripada jumlah tersebut diberikan kepada pegawai, jurubank dan rakan sekerja mereka menerusi rasuah dan sogokan.

Leissner memberi keterangan bahawa dia dan Ng memainkan peranan penting dalam skim berkenaan.

Dia juga secara peribadi memindahkan wang sogokan sebanyak AS$35 juta (RM146 juta) kepada Ng.

Leissner merupakan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Selatan, yang juga bekas ketua Ng.

Jelas Leissner, Ng meninggalkan firma itu pada 2014.

Sementara itu, Leissner mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low mendapat sokongan daripada sekutu bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk penyelesaian bagi siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Leissner memaklumkan mahkamah mengenai percubaan rundingan itu yang didengarnya sendiri daripada Jho Low.

Bagaimanapun, Leissner berkata, beliau tidak dapat mengesahkan maklumat tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN