NEW YORK: Peguam kepada Roger Ng menegaskan, Tim Leissner adalah pegawai bank Goldman Sachs Group Inc yang bertanggungjawab membina ‘hubungan penting’ dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan anak guamnya.
Menurut Marc Agnifilo, perkara itu menyebabkan pemeriksaan balasnya terhadap Leissner sering menyentuh kehidupan peribadi pegawai bank tersebut.
“Pendirian kami adalah semua hubungan yang dibinanya bersifat strategik.
“Leissner memainkan peranan penting dalam pelbagai perkara, bukan sahaja dalam kapasiti sebagai kakitangan Goldman yang cekap, malah dalam hubungan peribadinya,” kata Agnifilo seperti yang dilapor Bloomberg.
Ng sebelum ini dituduh bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram Amerika Syarikat (AS) melibatkan dana 1MDB.
Ng juga didakwa bersubahat dengan Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam skim memberi rasuah kepada sejumlah pegawai rasmi di Malaysia serta Abu Dhabi dan menyelewengkan ratusan juta dolar daripada 1MDB.
Leissner yang mengaku bersalah pada 2018, merupakan saksi utama kerajaan dalam perbicaraan Ng dan menyifatkan bekas pegawai bawahannya itu memainkan peranan penting dalam ‘memelihara’ hubungan Goldman dengan pihak lain.
Namun, perkara itu dinafikan Ng dan menurutnya, Leissner yang menerajui kesemua hubungan tersebut.
Agnifilo mengemukakan hujah untuk memasukkan emel antara Leissner dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Rohana Roszhan sebagai keterangan.
“Leissner yang ‘meletakkan Ng’ dalam semua keadaan ini sedangkan dia yang menggunakan kaitannya, malah turut menggunakan keintiman,” ujarnya
Sementara itu, hakim memberitahu beliau akan mempertimbangkan sama ada akan membenarkan keterangan tersebut diambil kira sebelum membuat keputusan. – UTUSAN