Lebih ramai wakil Melayu dalam CEC DAP pada masa depan - Utusan Malaysia

Lebih ramai wakil Melayu dalam CEC DAP pada masa depan

ANTHONY Loke Siew Fook beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Karnival Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban Tahun 2022 di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih ramai wakil Melayu dijangka mendapat tempat dalam kalangan kepemimpinan tertinggi DAP pada masa hadapan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman bagi menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP merupakan permulaan yang baik dalam perkara tersebut.

“Soal siapa menang siapa kalah, itu terpulang kepada perwakilan, perwakilan yang buat keputusan, kita tidak boleh paksa perwakilan bagaimana dan siapa yang akan mereka pilih, itu terpulang kepada perwakilan.

ANTHONY LOKE SIEW FOOK

“Saya yakin dalam jangka masa panjang lebih ramai pemimpin Melayu akan dapat dipilih dalam kepemimpinan tertinggi parti. Ahli Melayu dalam DAP tidak ramai tetapi kami ada wakil rakyat dalam kalangan kaum Melayu yang akan terus memainkan peranan.

“Kami yakin mereka akan dapat tempat di hati kalangan perwakilan pada masa hadapan. Satu permulaan yang baik untuk Young Syefura, walaupun pemimpin baharu, beliau diberikan sokongan yang kuat dari akar umbi DAP,” katanya.

Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Karnival Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban Tahun 2022 di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di sini hari ini.

Pada pemilihan CEC DAP pada 20 Mac lalu, Young Syefura menjadi wakil tunggal Melayu yang terpilih menganggotai CEC DAP bagi penggal 2022 hingga 2025 daripada 10 orang wakil Melayu yang bertanding.

Bagaimanapun selepas pemilihan itu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Syahredzan Johan dilantik ke dalam CEC.

Sementara itu, Siew Fook berkata, DAP perlu bekerja keras di kesemua kerusi Parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu bagi mendapatkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Kami kena kerja keras, semua kena kerja keras, bukan sahaja lima kerusi yang dimaksudkan, semua kerusi kena kerja keras untuk dapatkan sokongan rakyat. Ini bukan kerja bermusim, ia kerja sepanjang masa.

“Rakyat sokong kita kerana mereka melihat daripada pencapaian kita dan gerak kerja sepanjang masa, bukan setakat kempen pilihan raya sahaja, kempen pilihan raya dua minggu tetapi wakil rakyat dipilih untuk kerja lima tahun.

“Prestasi selama lima tahun itu lebih penting daripada apa yang kita lakukan semasa kempen. Paling penting, kita kena bekerja keras pastikan tanggungjawab kita dilaksanakan sepanjang masa sebagai wakil rakyat, itu nasihat saya,” katanya.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini dilaporkan berkata, DAP menjangkakan kehilangan lima daripada 42 kerusi pada PRU-15 berdasarkan prestasi parti itu dan trend pengundian pada Pilihan Raya Negeri Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya