PETALING JAYA: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa pemimpin UMNO meletakkan jawatan kerana menyebar berita palsu bahawa Pakatan Harapan (PH) melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ekoran kegagalan meluluskan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurut Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku telah menafikan MoU itu terbatal walaupun usul kerajaan gagal diluluskan di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan, adalah lebih baik jika pemimpin UMNO tersebut letak jawatan kerana sebarkan berita palsu.
“Menteri Undang-undang menafikan MoU dengan PH telahpun tamat atau terbatal. Beliau tempelak Ahli Parlimen UMNO seperti (Datuk Seri Dr.) Ahmad Zahid Hamidi, (Datuk Seri) Ahmad Maslan, (Tan Sri) Annuar Musa dan juga daripada Bintulu yang mendakwa PH telah langgar MOU sehingga terbatal bila tolak usul melanjutkan SOSMA selama lima tahun membenarkan tahanan tanpa bicara selama 28 hari.
“Lebih baik mereka letak jawatan kerana sebarkan berita palsu. Amat jelas PH tidak memecah MOU sebaliknya Akta Anti Lompat Parti akan dibentangkan bersama pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 11 April 2022. Itulah matlamat utama MoU. Syabas,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Semalam Wan Junaidi menjelaskan MoU antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) belum terbatal, walaupun usul kerajaan gagal diluluskan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ia berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU itu yang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat jika usul kerajaan tidak disokong.
“Jika kita lihat perkara di Perkara 3.3. (b) MoU, sebarang usul kerajaan atau rang undang-undang (RUU) perlu dirunding dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN