PETALING JAYA: Sebanyak 15,425,524 atau 65.6 peratus daripada populasi individu dewasa di negara ini menerima dos penggalak Covid-19, setakat semalam.
Berdasarkan laman CovidNow, kadar vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 30,617 dos penggalak diberikan semalam, 46,039 dos yang merangkumi 13,256 dos pertama dan 2,166 dos kedua.
Kadar vaksinasi harian yang dicatatkan itu menyaksikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 68,376,641 dos.
Dalam pada itu, sebanyak 22,940,801 atau 97.5 peratus daripada populasi berusia 18 tahun ke atas lengkap menerima suntikan vaksinasi manakala 23,216,630 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksinasi.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,841,412 atau 91.3 peratus daripada populasi itu lengkap suntikan vaksinasi manakala 2,940,403 atau 94.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sejumlah 1,221,990 atau 34.4 peratus individu menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids). – UTUSAN