KUALA LUMPUR: Remaja yang sebelum ini mendedahkan mengenai ‘lawak rogol’ oleh bekas gurunya, Ain Husniza dan bapanya telah memfailkan tuntutan balas terhadap bekas gurunya.
Tuntutan balas tersebut difailkan di Mahkamah Sesyen Klang melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair pada 4 Mac lalu. Sesalinan dokumen tersebut diperoleh media hari ini.
Menurut tuntutan balas tersebut, Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam Ab. Wahab telah menamakan bekas gurunya, Khairul Nizam Sanudin, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Sarimah Mohammed Nor, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M. Noh; masing-masing disaman atas kapasiti perbibadi dan jawatan rasmi mereka selaku defendan pertama hingga ketiga..
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan kerajaan Malaysia yang selaku defendan keempat dan kelima.
Pada 24 April 2021, Khairul Nizam yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) telah memfailkan saman fitnah terhadap Ain Husniza dan bapanya.
Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan, Ain Husniza dan bapanya selaku plaintif menyatakan guru terbabit, Khairul Nizam telah memulakan pembelajaran bertajuk ‘Serangan Seksual Dan Kelakuan Aksi Seksual, Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual, Punca dan Kesan Gangguan Seksual’ kepada kesemua pelajar kelas 5 Fitrah sekolah berkenaan.
Menurut plaintiff pertama (Ain Husniza) ia merupakan kali pertama kelas pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS) diajar dengan mencampurkan kehadiran pelajar lelaki dan perempuan sedangkan kelas tersebut sebelum ini diasingkan mengikut jantina pelajar dan guru yang mengajar adalah dari jantina yang sama.
“Defendan pertama memulakan sesi pelajaran tersebut dengan memperkenalkan pelbagai bentuk gangguan seksual dan kemudiannya, Defendan Pertama dengan sengaja telah mengungkapkan beberapa pernyataan yang tidak sopan dan jenaka-jenaka lucah,” kata plaintif.
Walaupun Ain Husniza telah membuat laporan rasmi kepada guru kelasnya dan juga kaunselor sekolah, namun tiada tindakan diambil menyebabkan remaja terbabit dan bapanya membuat laporan polis.
Selepas insiden tersebut tular dan menarik perhatian ramai, Ain Husniza telah memutuskan untuk tidak ke sekolah terutamanya selepas dinasihatkan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Puncak Alam rentetan wujudnya ugutan rogol terhadap remaja terbabit.
Sementara itu, Sarimah, Anismah, Mohd. Radzi dan kerajaan Malaysia disaman secara liabiliti vikarius ekoran tindakan oleh guru terbabit.
Ujar plaintif, sebagai majikan kepada Khairul Nizam, defendan kedua hingga kelima bertanggungjawab untuk mengurus tadbir kelakuan semua guru di sekolah terbabit, memastikan segala peraturan dan piawaian yang ditetapkan dipatuhi.
“Adalah jelas dan nyata tindakan melampau dan keterlaluan sedemikian oleh defendan pertama berlaku apabila defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima membenarkan dan mengarahkan defendan pertama, seorang guru lelaki, untuk mengajar subjek PJPK kepada pelajar perempuan.
“Sekiranya defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima masih mengekalkan susunan asal yang mana pelajar perempuan akan diajar oleh guru perempuan, maka, insiden tersebut tidak akan berlaku,” ujar plaintif.
Defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima juga didakwa telah gagal untuk mewujudkan atau memperkenalkan garis panduan yang berkait hubung dengan pengajaran terutamanya bagi mata pelajaran yang melibatkan campuran jantina.
Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan terhadap kesemua defendan atas kapasiti peribadi dan rasmi mereka.
Selain itu, Ain Husniza dan bapanya menuntut ganti rugi khas sebanyak RM955 yang merupakan bayaran rawatan perubatan yang ditanggung oleh plaintif akibat perbuatan kesemua defendan.
Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN