KUALA TERENGGANU: Larangan jualan telur penyu berkuat kuasa Jun ini tidak akan menjejaskan pendapatan 21 pemajak berdaftar di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, golongan berkenaan masih boleh meneruskan rutin mereka, namun telur yang dikutip perlu dijual sepenuhnya kepada Jabatan Perikanan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat bagi pelaksanaan program penetasan.
Katanya, langkah itu selaras untuk memastikan kesinambungan populasi penyu di Terengganu di samping mengelakkan eksploitasi reptilia marin berkenaan secara berleluasa terutama di pasaran terbuka dan e-dagang.
“Bagaimanapun, kadar harga jualan telur penyu akan dikurangkan agar tidak membebankan kewangan pihak terlibat dalam aktiviti pemuliharaan tersebut.
“Kalau ada pemajak yang menjual di pasaran gelap, kita tidak boleh berbuat apa-apa cuma kita ada peruntukan undang-undang dan mereka yang dikesan bersalah boleh dikenakan tindakan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Alias Harun (Pas-Rantau Abang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Pada 15 November tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang sekali gus mengharamkan penjualan semua spesies telur penyu termasuk tuntung laut.
Mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut Azman, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan tambahan hampir RM300,000 bagi pembelian telur penyu untuk program penetasan berkenaan dengan kesemua telur dibawa ke santuari atau dieram secara in situ.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 582,096 telur penyu dieram di Terengganu pada tahun lalu dengan 432,321 anak penyu dilepaskan. – UTUSAN