Lantikan MB bergantung hasil pertemuan - Hasni - Utusan Malaysia

Lantikan MB bergantung hasil pertemuan – Hasni

KENDERAAN membawa Ahmad Zahid Hamidi keluar selepas menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Danga Bay, Johor Bahru di sini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Proses penyerahan watikah serta pelantikan Menteri Besar Johor ke-19 bergantung kepada hasil pertemuan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, itu adalah proses yang perlu dilalui bagi pelantikan Menteri Besar apabila Presiden parti perlu menghadap Sultan Johor terlebih dahulu.

Hasni berkata, beliau tidak bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadap Sultan Ibrahim pada petang ini di lokasi yang tidak diketahui.

“Saya tak pergi, prosesnya memang macam itu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada Istana Johor, barulah Presiden menghadap Sultan Johor.

“Soal bila pelantikan Menteri Besar itu bergantung kepada pertemuan Ahmad Zahid bersama Sultan Johor,” katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO, Jalan Yahya Awal, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Hasni di Bangunan UMNO sebelum menghadap Sultan Johor.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai khabar angin terdapat calon lain yang turut dicalonkan Menteri Besar Johor yang baharu, Hasni enggan mengulas lanjut dan hanya memberi bayangan.

“Macam Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) katalah…makan angin sahajalah,” katanya tanpa menjelaskan perkara itu.

Terdahulu, terdapat khabar angin bahawa bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi (Machap) dan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Rengit) turut dinamakan sebagai calon Menteri Besar.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah menamakan Hasni sebagai calon tunggal Menteri Besar sekiranya BN kembali mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.

Kelmarin, Ahmad Zahid berkata, selepas BN menang dua pertiga mengulangi pendirian untuk hanya mengemukakan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu untuk dipertimbangkan Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, pencalonan tunggal itu memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dilaksanakan.

PRN Johor pada Sabtu lalu menyaksikan BN mendapat dua pertiga majoriti setelah menang 40 kerusi daripada 56 kerusi dipertandingkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya