Laksana gaji minimum RM1,500 tanpa pengecualian - Utusan Malaysia

Laksana gaji minimum RM1,500 tanpa pengecualian

Persatuan pekerja kerajakan laksanakan gaji minimum RM1,500 tanpa pengecualian.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan (KPSHK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak gaji minimum RM1,500 dilaksanakan seperti ditetapkan kerajaan  tanpa sebarang kelonggaran dan pengecualian kepada mana-mana majikan. 

Penyelaras JPKK, Danial Hakeem Azman berkata, JPKK yang mewakili 150,000 pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di premis kerajaan menyambut baik peningkatan drastik itu, jika dibandingkan dengan peningkatan sebelum ini. 

Menurut beliau, ia satu langkah  memberangsangkan walaupun tidak memenuhi kadar  sepatutnya iaitu RM2,331 sebulan sekiranya mengambil kira angka Pendapatan Garis Kemiskinan Relatif dalam formula pengiraan gaji minimum yang digunakan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara. 

“Bagaimanapun, kami membantah keras pendapat sesetengah pihak yang minta kelonggaran dan pengecualian daripada membayar gaji minimum baru RM1,500 kepada 150,000 kumpulan pekerja barisan hadapan bangunan kerajaan ini. 

“Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang meminta kerajaan mengecualikan pelaksanaan gaji minimum terhadap usahawan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan kenyataan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) dan Kesatuan Syarikat Pembersihan yang merungut mereka hanya akan menerima 10 peratus keuntungan kasar (jika gaji RM1,500 dilaksanakan). 

“RM1,500 itu sendiri bukanlah amaun yang mencukupi untuk saraan hidup seorang bujang apatah lagi berkeluarga. Jika kita ingat semula pengiraan Bank Negara (sebelum ini) menunjukkan sebuah keluarga memerlukan RM6,000 sebulan untuk hidup bermaruah sekiranya hidup di ibu negara,” kata beliau pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Pada 19 Mac lepas, media melaporkan, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini di seluruh negara. 

Bagaimanapun, Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Majikan Malaysia (MEF) membantah dengan mendakwa ia akan merencatkan pemulihan ekonomi negara. 

Kenaikan

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S.Arutchelvan berkata, kenaikan gaji minimum itu dapat membantu pekerja menaikkan simpanan terutama melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Katanya, ini berikutan tiga siri pengeluaran sebelum telah menyebabkan 6.1 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 79 peratus daripada mereka mempunyai baki kurang daripada RM1,000 itu agak membimbangkan. 

“Dengan menaikkan RM300 gaji minimum mungkin dapat membantu pekerja-pekerja ini  membina semula simpanan mereka melalui KWSP. 

“Tetap dalam masa sama, gaji minimum perlu disemak semula setiap dua tahun sekali supaya selari dengan perkembangan zaman kerana kadar inflasi sentiasa meningkat. 

Sementara itu, seorang pekerja tukang kebun sebuah sekolah di Kuala Lumpur, K.V. Duraisingam, 58, berkata, dia mengharapkan agar gaji minimum ketika ini sepatutnya dapat dinaikkan sehingga RM1,800.

Katanya, ini berikutan kos barang ketika ini semakin meningkat dan membebankan mereka yang berada pada paras gaji minimum. 

“Jika gaji minimum hanya RM1,500, kami pekerja hanya mendapat RM1,200 sahaja sekiranya mengambil cuti kerana dipotong oleh kontraktor. 

“Kos barang sekarang pun sudah meningkat, tak cukup untuk membayar sewa rumah, beli barang dan keperluan lain. 

“Gaji RM1,200, saya terpaksa berhutang untuk berbelanja keperluan hidup sehinggakan diugut apabila hutang itu terlampau banyak,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya