SEREMBAN: Ladang koko pintar pertama dan terbesar di Malaysia akan dibangunkan di tanah seluas 100 hektar di Bukit Gangis, Setul di sini dengan pelaburan sebanyak RM15 juta.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek ladang tersebut dijangkamengeluarkan 150 tan metrik koko premium setahun dan merupakan kerjasama strategik antara Syarikat Permaju Industries Berhad (PIB) bersama Ladang Koko Malaysia (LKM).
“Ladang ini diurus menggunakan Sistem Pengurusan Informasi Koko (CIMS) dengan kepakaran dari Austria yang dapat meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran hasil buah koko.
“Dengan gabungan kepakaran ini, ia dapat meningkatkan pengurusan koko di peringkat huluan selain membantu kita mengatasi masalah penyakit yang menyerang tanaman koko sekali gus menghasilkan pokok berkualiti tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Bukit Gangis, Setul di sini.
Menurut Zuraida, projek tersebut juga meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan terutama bagi memenuhi sasaran Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko berperisa unik.
“Tanaman koko ini dalam masa enam hingga tujuh tahun sudah mengeluarkan hasil, jadi ladang seluas 100 hektar ini kita jangkakan dapat mengeluarkan hasil koko sebanyak 150 tan metrik. Selain itu, CIMS dapat menjadi ladang contoh penggunaan teknologi pintar yang akan menarik lebih ramai pelabur dan generasi muda untuk mengusahakan tanaman koko,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, pembukaan sempadan pada 1 April ini dijangka dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi termasuk industri koko di negara ini dan optimis dapat mencapai sasaran RM14 bilion eksport koko tahun ini berbanding RM7 bilion pada tahun lalu. – UTUSAN