LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan seramai 2.2 juta pelancong memasuki pulau peranginan ini sepanjang tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Ahmad Fuad Che Ani berkata, daripada jumlah sasaran itu, sebanyak 85 peratus pengunjung adalah pelancong tempatan.
“Pada tahun lalu, Langkawi hanya mencatatkan seramai 1.09 juta orang pengunjung dan sebahagian besarnya adalah melalui program Gelembung Pelancongan Langkawi yang bermula pada 16 September bagi pelancongan domestik dan 15 November bagi pelancong antarabangsa.
“Pembukaan sempadan negara bermula 1 April nanti dijangka merancakkan kembali industri pelancongan Langkawi yang suram sejak dua tahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya telah melakukan promosi di Sarawak bagi menarik lebih ramai pelancong dari negeri itu masuk ke Langkawi.
Kata Ahmad Fuad, pihaknya melakukan pertemuan dengan 31 penggiat industri dari Sarawak dengan 13 penggiat industri pelancongan Langkawi bagi menjalinkan kerjasama perniagaan untuk menaikkan semula sektor pelancongan Langkawi.
Tambahnya, pada masa sekarang terdapat dua penerbangan daripada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia seminggu sekali dari Kuching, Sarawak dan akan ditambah kepada tiga penerbangan bermula April nanti.
Ahmad Fuad menambah, pihaknya akan berbincang dengan AirAsia bagi kemungkinan untuk menambah penerbangan terus dari bandar lain di Sarawak seperti di Miri dan Bintulu.
“LADA juga merancang untuk meningkatkan siri promosi domestik dan antarabangsa bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.- UTUSAN