Kubur lama 170 tahun dihakis banjir Sungai Jelai dipindahkan - Utusan Malaysia

Kubur lama 170 tahun dihakis banjir Sungai Jelai dipindahkan

KERJA menggali kubur lama Tanjung Betong berdekatan Sungai Jelai dilakukan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan dibantu bahagian forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk memindahkan jenazah ke Tanah Perkuburan Berala, Kuala Telang di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sebanyak 58 buah perkuburan lama Tanjung Betong berdekatan Kampung Kuala Telang dekat sini yang berusia 170 tahun dipindahkan berikutan ancaman runtuhan tebing Sungai Jelai akibat bencana banjir pada penghujung tahun lalu dan sebelum ini.

Kadi Lipis, Mohd. Zainudin Zakaria berkata, projek penggalian kubur lama itu ‘diharuskan’ mengambil kira keperluan dan kewajaran berikutan keadaan runtuhan tebing Sungai Jelai berdekatan makam lama tersebut semakin teruk.

“Kerja menggali kubur ini sedalam 1.83 meter bagi tujuan mengesan jenazah dan jika tidak dijumpai, tanah berwarna hitam yang diklasifikasikan sebagai cebisan mayat dipungut dan dimasukkan ke dalam kain putih berkarung sebelum dikebumikan.

“Daripada 58 jenazah itu, lapan (jenazah) yang masih ada sisa tulang yang utuh dan kita kebumikan dalam liang lahad baharu manakala selebihnya kita kumpul dan kebumikan dalam satu liang lahad,” katanya di Kampung Kuala Telang di sini.

Menurut Mohd. Zainudin, kerja menggali kubur dan memindahkan cebisan mayat dan tulang di kubur lama Tanjung Betong mengambil masa selama dua hari sebelum dipindahkan dan disemadikan semula di Tanah Perkuburan Kampung Berala, Kuala Telang dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Mufti Pahang, Datuk Abdul Zaki Md Zin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Nizam Abdul Manan; Kadi Jerantut, Syarifuddin Mohd. Saad dan Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr. Norzaimah Mohd. Idris.

Mohd. Zainudin berkata, proses pengalihan kubur tersebut mendapat kerjasama daripada pihak forensik HTAA, Hospital Sultan Ahmad Shah, Hospital Jerantut dan Hospital Lipis.

“Penggalian turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal Lipis, waris serta penduduk Kampung Kuala Telang,” katanya.

Sementara itu, Dr. Norzaimah berkata, usaha mencari batu nisan atau sebarang tanda perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum aktiviti menggali dan memindahkan jenazah.

“Sebelum usaha mencari batu nisan dan kerja menggali, kita akan mengadakan perbincangan dengan JAIP bagi mendapatkan sebarang keputusan supaya memastikan tidak berlaku sebarang kesulitan serta isu berbangkit selepas ini.

“Proses pengalihan kubur ini antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bahagian Forensik HTAA,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Lipis yang juga penduduk Kuala Telang, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, dia bersama waris berkenaan menemukan lebih 10 buah kubur di tebing Sungai Jelai pada awal tahun ini melibatkan beberapa batu nisan lama sudah tercabut dan patah serta hilang dibawa arus berikutan hakisan tebing akibar banjir tahun lalu.

“Ekoran kejadian ini, saya bersama Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Telang dan Masjid Kampung Kuala Telang mengajukan hal ini kepada Pejabat Kadi Lipis dan JAIP dengan memohon supaya kubur lama ini dipindahkan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada JAIP dan Pejabat Kadi Lipis yang sungguh komited dan membuat keputusan terbaik untuk melaksanakan kerja penggalian kubur lama dan memindahkan (jenazah) ke tapak perkuburan yang jauh daripada sungai dan selamat,” katanya.

Menurut Mohd. Farid, kubur lama tersebut merupakan kawasan pemakaman perwira Melayu dan penduduk Tanjung Betong yang meninggal dunia ketika terlibat dengan Perang Saudara di Pahang berlangsung sekitar 1857 hingga 1863 seperti yang dicatatkan oleh bekas Pengarah Pendidikan Negeri-Negeri Selat, W. Linehan dalam buku A History of Pahang yang diterbitkan pada 1936.

“Mengikut W. Linehan ketika menjadi pegawai British di Pahang pernah singgah di Kampung Tanjung Betong mendapati ada penduduk sekitar 1800-an atau sebelumnya dengan membina penempatan di pesisir Sungai Jelai serta wujud kegiatan perniagaan apabila menjadi persinggahan pedagang luar,” katanya.

Sementara itu, seorang waris, Abdul Latif Lebai Bakar, 70, berkata, dia sekeluarga terharu serta menyambut baik segala usaha yang dilakukan oleh JAIP dan Pejabat Kadi Lipis mengalihkan kubur lama ke kawasan baharu dan selamat.

“Di sini terletaknya kubur arwah bapa saya, Lebai Bakar Said yang meninggal dunia pada 1968. Setiap kali pulang ke kampung pasti saya akan menziarahi pusaranya dan menjadi nostalgia dalam kehidupan kami.

“Melihat kubur arwah ayah yang hanya beberapa meter sahaja hampir dengan tebing Sungai Jelai yang mula runtuh, hati saya mula bimbang dan mujurlah ada tindakan pihak berkuasa agama Islam negeri ini cepat menggali dan memindahkan (jenazah) ke tempat selamat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya