Kuasa Agong bubar Parlimen jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 

Kuasa Agong bubar Parlimen jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa membubarkan Parlimen terletak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, bukan di tangan Perdana Menteri. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, ramai pihak terkeliru dan masih tidak faham tentang had kuasa Perdana Menteri dan Perlembagaan Persekutuan. 

“Jadi, dalam Perlembagaan (Persekutuan) Artikel 40 ialah kuasa Kabinet untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan dalam artikel itu juga menyatakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk boleh tidak membubarkan Parlimen. 

“Jangan salah faham, parti boleh buat cadangan untuk bubarkan Parlimen kepada Agong. Walaupun Kabinet setuju untuk bubarkannya tapi ini adalah satu kuasa mutlak Agong,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia di sini hari ini. 

Terdapat desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen antaranya paling lantang disuarakan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir Sabtu lalu. 

Tegas Noh, parti boleh mencadangkan untuk membubarkannya, namun ia bukan bermakna kuasa membubarkan Parlimen diputuskan oleh Ismail Sabri.

“Selama ini kita senang dapat (keputusan) dalam satu parti, bila Perdana Menteri bawa maklum dalam Kabinet atau dia tak maklum pun tak apa sebab dia (Perdana Menteri) tahu dalam satu parti boleh menghadap Agong,” katanya.

Beliau berkata, mengikut prosedur Perdana Menteri perlu membawa dalam mesyuarat Kabinet berhubung pembubaran Parlimen dan apabila dipersetujui baharu ia dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan sekarang adalah sebuah kerajaan campuran, Ahli Parlimen UMNO sekitar 40 orang manakala Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain mempunyai ahli Parlimen lebih ramai iaitu seramai 70 orang. 

Noh berkata, apa yang berlaku ketika pertukaran Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan, tidak berlaku pembubaran, sebaliknya Agong menasihatkan supaya menubuhkan kerajaan baharu. 

“Pada masa itu apabila kami menghadap Agong… kita difahamkan ada tiga kumpulan, yang pertama Muafakat Nasional (MN), masa itu Pas dengan kita, kita tulis bubar Parlimen, ada yang hendak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ada yang hendak Dr. Mahathir kembali. 

“Akhirnya tidak ada yang mempunyai majoriti dan Agong titah tubuh kerajaan baharu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku kemudiannya, Muhyiddin hilang sokongan, Parlimen tidak bubar juga.

“Inilah kuasa Agong, kita tidak boleh mendahului kuasa Agong kerana ia kuasa mutlak Agong,” katanya. 

Noh menjelaskan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak membabitkan pelantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen dan mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja dan kuasa itu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya