PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan merujuk dakwaan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga yang memberitahu laporan mereka `ditendang’ balai polis kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan pada sesi libat urus seterusnya antara KPWKM bersama KDN.
Menurut beliau, kementeriannya sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama KDN khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu keganasan membabitkan wanita dan kanak-kanak.
“Kalau isu berkaitan dengan balai polis ini, kita akan buat semakan dahulu supaya ia dapat diatasi dan diselesaikan.
“Pada masa sama, saya menasihatkan wanita yang menjadi mangsa keganasan ini supaya terus ke hospital bagi mendapat rawatan dan dari situ pihak hospital akan keluarkan satu laporan perubatan.
“Laporan perubatan itu boleh dikemukakan sebagai bukti ketika membuat laporan di balai polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Wanita Bangkit’, di sini hari ini.
Sebelum ini, heboh di media sosial kononnya ada segelintir mangsa mendakwa mereka tidak mendapat layanan sewajarnya ketika mahu membuat laporan polis.
Malah, mereka mendakwa laporan polis itu ‘ditendang’ (tidak diterima) gara-gara ia hanyalah sekadar masalah rumah tangga. – UTUSAN