PETALING JAYA: Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinobat sebagai koperasi keempat terbaik daripada 100 koperasi di negara ini pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan standard yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Dasar Koperasi Negara.
Kata beliau, PDRM mempunyai lebih 100,000 ahli koperasi yang mendapat manfaat dan faedah daripada memorandum yang ditandatangani.
“Saya percaya dengan terjalinnya memorandum ini, ia akan meningkatkan kejayaan.
“Insya-Allah dengan kesungguhan Kop Mantap Berhad (anak syarikat Koperasi PDRM) mencari lebih banyak peluang kerjasama dengan rakan-rakan strategik, saya yakin dapat melonjakkan sektor pelaburan koperasi dan mengukir lebih banyak kejayaan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kop Mantap Berhad bersama Rakan Strategik di Maktab PDRM, di sini hari ini.
Jalinan kerjasama strategik itu membabitkan syarikat HeiTech Padu Berhad, Simba Electric Group Sdn Bhd, Pencetakan Surya Sdn Bhd dan Nasdeem Ventures Sdn Bhd.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi PDRM, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, Koperasi PDRM dan Kop Mantap sentiasa berusaha keras dalam memastikan syarikat kekal berdaya maju walaupun berdepan dengan situasi ketidaktentuan ekonomi dan krisis kesihatan.
“Sejak ditubuhkan pada 1993, Kop Mantap meneroka pelbagai bidang bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dalam mentransformasikan ekosistem koperasi sekali gus menjadi pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif,” jelasnya. – UTUSAN