SINTOK: Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan bermula esok buat julung kali menggunakan sistem e-Konvo berasaskan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID) sebagai salah langkah mengurangkan risiko penularan Covid-19.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pengenalan sistem baharu itu adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang diguna pakai bagi dua sistem iaitu pengurusan jubah dan panggilan nama graduan.
Menurutnya, penggunaan RFID ini juga dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi secara langsung dalam jarak yang dekat antara graduan bagi membantu mengawal penularan Covid-19 sepanjang majlis berlangsung.
“Dengan adanya teknologi ini, pengurusan jubah akan menjadi lebih cekap serta dapat menjana laporan inventori jubah dengan cepat dan efisien.
“Untuk sistem panggilan nama graduan, tag RFID yang dilekatkan pada jubah graduan akan berfungsi dengan imbasan yang dikesan oleh pengimbas RFID.
“Seterusnya nama graduan akan diumumkan secara automatik semasa graduan berada di pentas untuk mengambil skrol ijazah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, tag RFID bersaiz kecil yang mempunyai ketahanan yang tinggi dan akan disematkan pada semua jubah graduan bagi membolehkan jubah yang disewa oleh graduan dapat dikesan oleh pengimbas semasa pengambilan dan pemulangan jubah.
“Di samping itu, penggunaan teknologi baharu itu juga dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19 kerana semua jubah akan dimasukkan ke dalam plastik yang disediakan dan terus dihantar ke pusat cucian selepas sesi konvokesyen berakhir,” katanya.
Dr. Haim Hilman juga bangga kerana Bahagian Teknologi Maklumat (UUMIT) mengambil inisiatif membangunkan teknologi tersebut yang akan digunakan buat pertama kali dalam majlis konvokesyen ini sebagai satu usaha universiti untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Jika dulu menggunakan kad pintar yang memerlukan petugas untuk menyentuh kad tersebut pada pengimbas tetapi teknologi RFID kini dapat mengurangkan proses kerja pelaksanaan majlis konvokesyen serta mengurangkan tenaga kerja staf yang terlibat,” katanya.
Seramai 5,795 graduan akan diraikan dalam majlis konvokesyen selama tujuh hari di Dewan Mu’adzam Shah, UUM. – UTUSAN