Kontroversi aplikasi MySejahtera dibahas petang ini 

[PARLIMEN] Kontroversi aplikasi MySejahtera dibahas petang ini 

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim membenarkan usul melibatkan pengendalian aplikasi MySejahtera yang menjadi kontroversi ketika ini untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Negara di Parlimen, petang ini. 

Memaklumkan perkara itu, beliau berkata, kebenaran tersebut dibuat selepas mempertimbang tiga perkara iaitu bersifat tertentu, berkepentingan awam dan memerlukan tindakan segera. 

“Saya telah meneliti perkara ini dan mengambil kira perkembangan isu tertentu secara menyeluruh dan didapati bahawa ia adalah tertentu dan perkara ini adalah sesuatu yang harus diberi perhatian khusus. 

“Kedua, kepentingan orang ramai terlibat dalam isu ini oleh kerana data-data berjuta-juta warga Malaysia sedia tersimpan di dalam sistem yang dikendalikan tersebut, justeru, ia adalah bagi kepentingan orang ramai. 

“Ketiga, ia memerlukan tindakan yang disegerakan, saya puas hati bahawa perkara ini perlu disegerakan dan demikian, saya membenarkan usul ini dibahaskan,” katanya di Dewan Negara hari ini. 

Sebelum itu, Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md. Arip mengusulkan supaya Dewan Negara membahaskan isu kontroversi membabitkan data peribadi rakyat negara ini melalui MySejahtera susulan langkah kerajaan memilih syarikat MYSJ Sdn. Bhd. untuk meneruskan aplikasi berkenaan.  

“Usul ini adalah usul yang berkehendakkan disegerakan kerana wujud kekhuatiran dalam kalangan rakyat, mungkin data mereka boleh disalahgunakan dan jika berlaku, ia hanya mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. 

“Selain itu, usul saya kemukakan melibatkan kepentingan awam yang perlukan penjelasan segera secara terperinci oleh Kementerian Kesihatan kerana MySejahtera adalah aplikasi tunggal yang diwajibkan penggunaannya ke atas rakyat. 

“Sebarang kegagalan untuk kerajaan tampil menjawab persepsi dakwaan serta tuduhan mengenai kontroversi MySejahtera ini hanya memberi mesej yang salah kepada rakyat dan akan merencat serta mencacatkan usaha memerangi pandemik Covid-19,” katanya. 

Pengendalian aplikasi MySejahtera sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ia dilaporkan dijual kepada syarikat swasta, bagaimanapun, Khairy menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah berbuat demikian dan ia masih menjadi hak milik kerajaan manakala kementeriannya dilantik sebagai pemilik utama aplikasi itu.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) memaklumkan, akan memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai saksi utama mengenai MySejahtera hadir ke prosiding dalam masa terdekat.

PAC mempersoal bagaimana pemilikan aplikasi MySejahtera dipindah daripada syarikat KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. kepada MYSJ Sdn. Bhd.

Pada Selasa lalu, Khairy dilaporkan meminta supaya Rais membenarkan usul melibatkan MySejahtera dibahas oleh ahli-ahli Dewan Negara hari ini.

Kata Khairy, tiada perkara yang disembunyikan mengenai MySejahtera dan beliau akan menjawab semua persoalan supaya tiada lagi isu timbul berhubung pengendalian aplikasi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya