BELAGA: Penduduk di tanah tinggi daerah Belaga yang menggunakan khidmat kesihatan di Klinik Sungai Asap akan mendapat perkhidmatan yang lebih baik dengan penambahan ambulans ketiga untuk menangani kekurangan ambulans di daerah ini.
Ini adalah berita baik bagi penduduk di Skim Penempatan Semula Bakun di sini.
Kemudahan ambulans amat diperlukan setiap kali berlaku kecemasan yang memerlukan pemindahan perubatan ke Hospital Bintulu.
Kenderaan ambulans pacuan empat roda, diubah suai untuk disesuaikan dengan topografi dan rupa bumi kawasan berkenaan akan ditempatkan di Klinik Sungai Asap untuk menambah dua ambulans sedia ada.
Jabatan Kesihatan Sarawak di Kapit menerima ubah suai serba lengkap baharu itu.
Kenderaan berkenaan adalah sumbangan Sarawak Energy Berhad (SEB), sebagai sebahagian daripada sokongan berterusan perbadanan itu kepada komuniti yang dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Bakun berikutan pembangunan Empangan Hidroelektrik Bakun (HEP).
Terletak kira-kira dua jam melalui jalan darat dari Bintulu dan satu jam dari loji kuasa hidro, kawasan penempatan semula Bakun dibina pada 1998 apabila 15 rumah panjang terdiri daripada suku kaum Kayan, Kenyah, Kajang dan masyarakat Penan berpindah dari Sungai Balui di Hulu Rajang ke situ untuk memberi laluan kepada pembangunan HEP Bakun berkuasa 2,400 megawatt.
Pada majlis penyerahan kenderaan tersebut di Bakun HEP baru-baru ini, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Asap, Dr. Norfazira Abdullah menerima kenderaan berkenaan bagi pihak Jabatan Kesihatan Sarawak dengan disaksikan Pegawai Kesihatan Bahagian Kapit, Dr. Hamidi Mohamad Sharkawi.
Sarawak Energy diwakili Pengurus Penyelenggaraan Bakun, Laurence Satia Usit; Pengurus Operasi Bakun, Admund Gabriel bersama pengurusan dan kakitangan dari PPT Bakun serta kakitangan perubatan dari Sungai Asap dan Kapit.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong berkata, pihaknya berbesar hati menyokong usaha dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Sarawak untuk inisiatif penting ini bagi faedah masyarakat di Sungai Asap.
Katanya, sebagai rakan korporat yang bertanggungjawab pihaknya harus memainkan peranan yang proaktif untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami akan terus melibatkan diri dengan masyarakat supaya kami memahami keperluan mereka dan bekerjasama untuk menangani cabaran,” tambahnya.
Sejak memperoleh HEP Bakun daripada Kementerian Kewangan pada 2017, beliau berkata, pihaknya telah bekerjasama rapat dengan masyarakat di Skim Penempatan Semula Bakun dengan mengatur beberapa program di kawasan penempatan semula itu melalui tumpuan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Antara tonggak pelaburan sosial yang dibuat oleh SEB ialah pemeliharaan warisan budaya, peningkatan infrastruktur, program kesihatan dan keselamatan, kempen anti dadah dan insentif pendidikan. – UTUSAN