SEREMBAN: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencari mekanisme membolehkan pesakit Covid-19 mengundi dalam pilihan raya.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan supaya tanpa menafikan hak mereka selain tidak memudaratkan pula individu ataupun pengundi yang lain.
“Ya, memang hak mereka untuk mengundi tetapi satu lagi ialah hak rakyat untuk tidak dijangkiti dan tidak dimudaratkan kesihatan mereka. Bagi mengimbangi hak ini, kita kena cari apakah kaedah yang terbaik.
“Memang ada banyak cara cuma saya bangkitkan cabaran yang kami hadapi, kalau mahu buat boleh, mungkin kita perlu duduk berbincang dengan SPR selepas. Kalau dipanggil pilihan raya umum pun, akan ada orang positif Covid-19.
“Kita kena fikirkan macam mana kita mahu benarkan untuk mengundi, itu cabarannya dan saya akan berbincang dengan SPR, adakah satu mekanisme yang selamat, boleh diwujudkan nanti,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada emberita selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang dekat sini hari ini.
Tambah Khairy, ada pihak yang mencadangkan supaya diwujudkan satu pusat mengundi khas untuk pesakit Covid-19 termasuk ia diadakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
“Tetapi saya mahu beritahu, 96 peratus daripada kes positif sekarang, mereka duduk di rumah, bukan pergi ke PKRC. Persoalan juga sekarang, kalau wujud pusat pengundian untuk individu positif Covid-19, bagaimana mereka mahu pergi ke pusat pengundian tersebut.
“Kalau mereka boleh bawa kenderaan sendiri tidak mengapa tetapi kalau perlu naik kenderaan orang lain, siapa yang mahu bawa mereka. Dia boleh mudaratkan ahli keluarga dan individu lain,” katanya lagi.
Sementara itu, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan sebanyak 54 kompaun membabitkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam.
“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan perjalanan PRN Johor, saya rasa SOP yang ditetapkan telah dipatuhi dengan baik. Sebanyak 54 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang betul-betul langgar SOP.
“Saya telah minta supaya penguat kuasa gunakan budi bicara, sebagai contoh ada satu kompaun yang telah dikeluarkan kepada pemberita yang telah saya batalkan kerana bagi saya ia tidak dapat dielakkan.
“Sekarang kita kata adalah penjarakan yang munasabah, dahulu ketat sangat, perlu penjarakkan satu meter tetapi sekarang tidak. Kita sudah beralih ke penjarakan yang munasabah,” katanya. – UTUSAN