Kilang ‘besar kepala’ dipotong bekalan elektrik

Kilang ‘besar kepala’ dipotong bekalan elektrik

ZAIDI Attan bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas operasi bersepadu di Taman Teknologi Cheng, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan ‘besar kepala’ sebuah kilang melebur logam yang tetap beroperasi meskipun diarah tutup dan dikompaun, berakhir dengan pemotongan bekalan elektrik oleh penguat kuasa di Taman Teknologi Cheng, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kilang itu dikenakan 23 kompaun bernilai RM46,000 sejak tiga tahun lalu melibatkan pelbagai kesalahan operasi. 

Katanya, pemilik kemudian diarah menutup operasi buat sementara waktu bagi membantu siasatan, namun tidak diendahkan. 

“Sejak 2019, kilang dikenakan 23 kompaun bernilai RM46,000 dan sembilan notis kerana melakukan banyak kesalahan termasuk pencemaran udara serta melanggar arahan sitaan operasi pembakaran bahan api.

“Pada hari ini kita terpaksa mengambil keputusan memotong terus bekalan elektrik premis ini selepas mendapati pemilik tidak mengendahkan kompaun serta notis penutupan sementara diberikan penguat kuasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi bersepadu di kilang tersebut yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Osman.

Tambah Zaidi, arahan sitaan tersebut dikeluarkan JAS di bawah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kerana gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis di bawah Peraturan 5 dan Peraturan 7, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelasnya, pihaknya juga menerima aduan berterusan daripada penduduk membabitkan kilang itu yang didakwa menimbulkan masalah kacau ganggu kepada masyarakat sekitar. 

“Malah satu aduan awam juga diterima melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kes kilang ini. 

“Justeru, selain pemotongan elektrik, kita meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menarik semula lesen perniagaan mereka dan siasatan terhadap kesemua pekerja warga asing oleh Jabatan Imigresen,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya