KANGAR: Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, pengusaha penyedia perkhidmatan penghantaran hadiah secara mengejut atau surprise delivery antara paling teruk terkesan dan hilang sumber pendapatan.
Namun ketika negara bakal beralih ke fasa endemik, perniagaan tersebut mula rancak dengan pengusaha kembali ‘bernyawa’ sekali gus tidak ‘menang tangan’ menerima tempahan pelanggan yang ingin membuat kejutan terhadap insan tersayang.
Penyedia perkhidmatan penghantaran hadiah secara mengejut adalah sebagai pengantara atau perancang antara penghantar dan penerima khususnya melibatkan kejutan sempena hari lahir serta ulang tahun perkahwinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengusaha Art Board Surprise Delivery, Hasliza Jaafar, 40, berkata, dalam tempoh PKP, perniagaan yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu terjejas teruk namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertahan.
Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini, perkhidmatan penghantaran hadiah secara mengejut itu kembali rancak dengan sehari sekurang-kurangnya lapan tempahan atau lebih 240 tempahan sebulan.
Dia yang dibantu suaminya, Zulkifli Mat Bistaman, 36, berkata, mereka menyediakan perkhidmatan seperti kejutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan, perancang majlis selain hantaran perkahwinan.
“Kita menyediakan jambangan, coklat, bunga, duit, buah-buahan, kad ucapan, belon dan pelbagai barangan lain dengan keistimewaan hiasan dan kualiti lebih moden dan elegan.
“Alhamdulilah, perniagaan semakin baik sejak kebelakangan ini dengan tempahan kembali memberangsangkan. Tempoh PKP sebelum ini, sangat mencabar namun kami terus bertahan dengan perniagaan ini.
“Sepanjang PKP, berbulan-bulan tidak ada tempahan namun Alhamdulilah sekarang kami sudah kembali ‘bernafas’,” katanya.
Tambah Hasliza, harga yang ditawarkan adalah bermula serendah RM50 sehingga mencecah ribuan ringgit bergantung pada jenis tempahan dengan penghantaran pula sekitar negeri ini dan Kedah. – UTUSAN