Khairy enggan dedah harga lantai lesen MySejahtera

[PARLIMEN] Khairy enggan dedah harga lantai lesen MySejahtera, masih dalam rundingan 

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan jumlah sebenar pemindahan harta intelek dan lesen perisian aplikasi MySejahtera, ketika beliau sudah menjelaskan bahawa harganya jauh lebih rendah daripada RM338.6 juta seperti dilaporkan sebelum ini. 

Bercakap di Dewan Negara hari ini, beliau berkata, harga tetap aplikasi berkenaan masih dalam proses rundingan dengan Perbendaharaan yang berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan. 

“Saya mahu maklumkan bahawa rundingan masih berjalan ketika ini dan akan diusahakan sebaik mungkin untuk mencapai situasi menang-menang, yang seterusnya memastikan isu ini dapat dicapai kata putus. 

“Harga saya dengar di pasaran, RM300 juta lebih, saya boleh nyatakan di sini bahawa harga rundingan jauh kurang dari RM300 juta. Kita akan dapat satu kos sebenar yang menjaga kepentingan awam,” katanya semasa menggulung perbahasan usul aplikasi MySejahtera bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini. 

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris (Bersatu) tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Khairy dan meminta beliau menjelaskan harga yang dikatakan ‘jauh lebih rendah’. 

“Dewan Negara nak tahu berapa sebenarnya, boleh putuskan di sini tak berapa sebenarnya dari RM350 ke?” soal Razali. 

Khairy pula berkata, ia hanya akan dimuktamadkan sekiranya proses rundingan sudah selesai dengan pihak terlibat dan kerajaan akan mengumumkannya kemudian.   

“Saya tahu, Yang Berhormat pun ingin tahu (kos sebenar), tetapi ini masih lagi dalam rundingan dengan Perbendaharaan dan apabila diputuskan nanti, kerajaan akan umumkan jumlah tersebut secara telus kepada ahli-ahli Yang berhormat,” katanya. 

Sementara itu, Senator Datuk Hisamudin Yahya (UMNO), turut menekan Khairy supaya menyatakan harga lantai bagi aplikasi tersebut. 

“Takkan tiada harga lantai? Ini peliklah sikit,” soalnya. 

Kata Khairy: “Strategi perundingan ini kita (kerajaan) jangan umum depan orang. Kita pun ada strategi perundingan kita juga.” 

Senator Fadhlina Datuk Sidek (PKR) pula tampil mencelah dan berkata, hal itu sudah memakan masa setahun dan wujud persoalan mengapa ia masih dalam proses rundingan. 

“Saya hanya boleh jawab bahawa kita dalam peringkat yang terakhir. Sudah hampir sampai tahap mahu tandatangani kontrak. Kebetulan isu ini keluar,” jawab Khairy. 

Terdahulu, dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Entomo, sebelum ini dinamakan sebagai syarikat KPISoft Sdn. Bhd. bersetuju memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn. Bhd. menerusi perjanjian berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025.

Pada Isnin lalu, Khairy memaklumkan, jumlah yang akan dibayar kerajaan akan jauh lebih rendah berbanding RM338.6 juga untuk lesen aplikasi MySejahtera. 

Rentetan pendedahan itu telah mencetus kebimbangan awam mengenai penjualan aplikasi itu kepada syarikat swasta yang menurut sesetengah pihak akan membawa kepada pencabulan maklumat peribadi dan ancaman keselamatan negara. 

Bagaimanapun, Khairy sebelum ini menjelaskan keputusan kerajaan untuk melantik sebuah syarikat untuk menguruskan aplikasi MySejahtera tidak bermaksud aplikasi itu dijual, data dikumpul adalah selamat selain jumlahnya jauh lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya